Tuesday, 5 June 2012

Berbaktilah kepada ibu bapa

"Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapa mu dan (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)." (Surah Luqman ayat: 14)
Maka, soal kebaktian seorang anak terhadap ibu bapanya perlu diutamakan dan diletakkan sebagai tugas yang penting untuk dilaksanakan. Menjelang hari tua, ibu dan bapa kita akan lebih mendalam kerinduan terhadap anak yang pernah dibesarkannya.
Tahap sensitifnya akan cepat terasa sekiranya anak yang dijaga bersikap kurang menyenangkan, atau melakukan perbuatan yang mengguriskan hati. Kita sebagai anak harus sedar akan kewajipan mentaati dan membahagiakan hati kedua ibu bapa. Firman Allah Taala yang bermaksud:
"Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "ah" dan janganlah engkau menengking, menyergah mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)." (Surah al-Isra' ayat: 23)
Maksud "berbuat baik kepada kedua ibu bapa" sebagai mana yang disebutkan dalam ayat suci al-Quran selain dari menjaga tingkah laku, perkataan dan perbuatan dari sebarang kekasaran yang boleh melukai hati keduanya, kita dituntut untuk menjaga ibu bapa setelah mereka berada di usia yang tua.
Menjelang saat-saat hari tua adalah penantian kehidupan yang menggusarkan fikiran. Pasti semua ibu bapa akan kerisauan mengingatkan tentang kehidupan hari tua kelak. Dalam Islam, anak lelaki yang paling berkewajipan menjaga ibu bapanya berbanding dengan anak perempuan. Seorang ibu boleh membesarkan anaknya yang ramai, sebaliknya anak-anak yang ramai belum pasti dapat memelihara kedua ibu bapanya.
Maka, antara jalan untuk tergolong sebagai orang-orang yang beriman ialah keutamaan melihat ibu bapa sebagai tanggungjawab yang besar yang perlu dilaksanakan. Kegagalan berbakti kepada ibu bapa boleh mengakibatkan kita sukar untuk sampai ke pintu syurga sebagaimana hadis daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
"Amat malanglah! Amat malanglah! Dan amat malanglah. Maka Rasulullah ditanya: Siapakah orang yang amat malang itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Seseorang yang mendapati kedua ibu bapanya atau salah seorang daripada keduanya telah tua namun dia masih gagal memasuki syurga (lantaran gagal berkhidmat kepada mereka)." (Riawayat Muslim)
Menyentuh tentang jasa ibu bapa terhadap anaknya terlalu banyak. Sudah pasti, para ibu dan bapa akan menitiskan air mata jikalau ditanya tentang pengorbanan untuk membesarkan anak apatah lagi bagi golongan yang hidup dalam kemiskinan dan serba kekurangan dengan seratus peratus menggunakan kudrat sendiri untuk membela dan membesarkan anak-anaknya.
Ada sedikit perbezaan berbanding para ibu hari ini yang banyak bergantung kepada pembantu rumah serta penggunaan alat teknologi yang membantu meringankan beban atau tugas seorang ibu.
Imam Bukhari telah meriwayatkan sebuah kisah daripada Said bin Abi Burdah tentang seorang lelaki Yaman yang bertawaf sambil mendukung ibunya dengan penuh cermat. Sebaik selesai tawaf, beliau bertanya kepada Ibnu Umar: Apakah dengan khidmat dan pengorbananku ini telah dapat membalas jasa bakti ibuku? Jawab Ibnu Umar: Tidak, apa yang telah kamu lakukan tadi tidak akan dapat menebus jasa ibumu sekalipun sekadar hembusan nafas ketika kesakitan melahirkan kamu.
Justeru, berbuat baik serta melayan kedua ibu bapa dengan nilai budi bahasa yang sopan adalah amalan yang terpenting untuk disemat di hati.

Monday, 14 May 2012

KISAH TELADAN

KELUARGA BAHAGIA



SIAPAKAH INSAN BERGELAR  “BAPA”
Bapa diibaratkan sebagai seorang “Nakhoda”  sebuah kapal yang sedang belayar,seorang nakhoda bertanggugjawab memastikan keselamatan para penumpang dan juga akan mengemudikan kapal agar selamat sampai ke destinasinya. Antara peranan mulia seorang bapa:
1.       Pemimpin sesebuah rumahtangga atau keluarga
2.       Menjadi pelindung atau penyelamat seluruh anggota keluarganya daripada kesengsaraan hidup dunia sekaligus mencapai keredhaan Allah di akhirat.
3.       Bertanggungjawab mencari dan memberi  nafkah kepada ahli keluarganya, menyediakan dari segi infrastruktur dan prasarana dalam menyara hidup demi kebahagiaan keluarga.
4.       Memberi didikan agama secukupnya (keperluan rohani), berusaha memantapkan soal keyakinan (akidah) dan sistem nilai dalam hati anak-anaknya.
5.       Sentiasa berusaha bagi memenuhi kehendak fisiologi dan biologi anak-anaknya.
6.       Memberi pendidikan ilmu fardu ain dan ilmu yang berbentuk fardu kifayah .(ilmu duniawi dan ukhrawi

SIAPAKAH INSAN BERGELAR “IBU
“Syurga itu terletak di bawah telapak kaki ibu”, “kasih ibu membawa ke syurga”. Itulah hebatnya insan istimewa bergelar ibu. Syurga dan keberkatan kehidupan seorang anak terletak kepada layanan dan ketaatan tidak berbelah bahagi terhadap ibunya.  Sesungguhnya, hierarki ketaatan seorang anak yang paling utama ialah kepada Allah, keduanya kepada Rasulullah SAW  dan yang ketiga ialah kepada ibu. Rasulullah SAW juga telah mengingatkan kita tiga kali berturut-turut kewajipan mentaati ibu, kemudian barulah bapa. Peranan mulia seorang ibu:
1.       Berperanan sebagai pengurus dalam sebuah rumah tangga, mengurus keperluan suami ( bapa kepada anak-anaknya) juga keperluan anak-anaknya.
2.       Melahirkan,menyusui, mengasuh, membesarkan  dan menjaga makan minum anak-anaknya.
3.       Memberi didikan (tarbiah) kepada anak-anaknya, mencurahkan sepenuh kasih sayang dengan sepenuh hati
4.       Menguruskan rumahtangga dengan meyediakan suasana harmoni dan kondusif untuk membina keluarga bahagia.
5.       Bertanggungjawab memelihara dan mentadbir harta dan segala keperluan material dan fizikal yang diamanahkan.
6.       Ketaatan, kesetiaan dan kepatuhannya kepada suami  menjamin kebahagiaan keluarga.
7.       Bersusahpayah bagi memenuhi keperluan fizikal ,akal juga keperluan emosi dan hati anak-anaknya.



BERBAKTI KEPADA KEDUA ORANG TUA
Imam Bukhari dan Muslim mengeluarkan dari Ibnu Mas’ud ra, dia berkata: Aku bertanya kepada Rasulullah SAW, “Apakah amal yang disukai Allah? Baginda menjawab “Solat tepat pada waktunya.” Aku bertanya lagi ,Lalu apa? Baginda menjawab, “Berbakti kepada kedua orang tua.”Aku tanya lagi, Lalu apa lagi? Baginda menjawab, “Jihad.”
Hadis riwayat Muslim merawikan, “Tiada seorang anak dapat membalas jasa orang tuanya melainkan ia membeli seorang hamba dan memerdekakannya.”
Abu Ya’la danTabrani meriwayatkan dengan sanadnya, “Seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW seraya berkata, “Aku ingin berjihad, namun aku tidak mampu.” RasulullahSAW bertanya, “Apakah salah seorang tuamu masih hidup?” Dia menjawab, “Ibuku masih hidup.” Lalu Rasulullah SAW bersabda:
Mohonlah kepada Allah untuk berbakti kepadanya. Jika engkau berbuat demikian, maka sama dengan engkau berhaji, berumrah dan berjihad.”
Ibnu Hibban meriwayatkan, Keredhaan Allah itu bergantung kepada keredhaan kedua orang tua dan kemurkaan Allah juga bergantung kepada kemarahan kedua orang tuaI

KISAH-KISAH TELADAN  BERBUAT BAIK KEPADA IBU BAPA

KISAH 1 (BALASAN ANAK YANG SOLEH)
Dalam sebuah hadis sahih, diceritakan  tentang tiga orang lelaki yang bermusafir, ketika di pertengahan jalan, mereka ditimpa hujan lalu berteduh di dalam sebuah gua. Tiba-tiba bergolek sebuah batu besar menutupi pintu gua tersebut.Puas mereka berusaha untuk mencari jalan keluar tetapi tidak berhasil. Tiba-tiba salah seorang daripada lelaki itu memberi cadangan,”Batu ini tidak akan terbuka melainkan kita  berdoa, bermunajat dengan bersungguh-sungguh menurut amal soleh masing-masing.”Lalu ketiga-tiga lelaki itu pun menyebut amalan soleh masing-masing dengan penuh khusyuk, Kemudian salah seorang berdoa, “Aku mempunyai anak-anak yang masih kecil dan pekerjaanku ialah mengembala.Apabila aku memerah susu, aku dahulukan kedua orang tuaku meminumnya kemudian barulah anak-anakku dan aku sendiri meminumya. Pada suatu hari, aku keluar untuk mencari kayu hingga lewat petang, apabila aku pulang ku lihat kedua orang tuaku telah tidur.Namun aku tidak mengejutkan mereka untuk minum hinggalah terbit fajar. Sedangkan anak-anakku merengek-rengek kerana dahagakan susu. Demikianlah keadaanku , Ya,Allah, jika engkau tahu aku berbuat demikian semata-mata mengharapkan redha -Mu ,maka bukakanlah pintu gua ini hingga kami dapat keluar dari sini. Dengan izin Allah, bergeraklah sedikit pintu gua tersebut.
KISAH 2 (AKIBAT BERBUAT DERHAKA KEPADA IBU)
Iktibar disebalik kisah Al-Qamah yang hidup pada zaman Rasulullah SAW yang terleka melayan kerenah isteri sehingga terlepas pandang meraikan ibunya. Akhirnya si ibu berkecil hati, menyebabkan Al-Qamah susah mengucap kalimah syahadah semasa hendak meninggal dunia. Rasulullah SAW memerintahkan sahabatnya membuat unggun api untuk membakar Al-Qamah kerana mengecilkan hati ibunya. Hati seorang ibu yang kaya dengan kasih sayang, manakan sanggup membiarkan tubuh badan anaknya dimamah unggunan api yang marak menyala. Akhirnya sejuklah hati seorang ibu, barulah lembut lisan al-Qamah untuk melafazkan kalimah suci “LAILAAHAILLALLAH. Berpisahlah antara nyawa dan jasad Al-Qamah dengan keredhaan seorang ibu.  Begitu tegasnya Nabi SAW dalam soal kederhakaan seorang anak kepada ibunya kerana syurga itu di bawah tapak kaki ibu.

KISAH 3 (UTAMAKAN KETAATAN KEPADA ALLAH)

Marilah kita hayati kisah Saad bin Abu Waqqas yang menghadapi ujian getir ketika mengambil keputusan memeluk islam. Saad bercerita,”Apabila ibu saya mendengar bahawa saya telah memeluk Islam,dia hampir pengsan. Persoalannya, saya termasuk pemuda yang berbakti dan sangat mengasihi ibu. Ibu berkata kepada saya, ‘Hai Saad, agama apa yang baru kamu peluk dan telah memalingkanmu dari agama ibu dan ayahmu? Demi Allah, kamu hendaklah meninggalkan agama baru itu. Jika tidak, ibu akan mogok makan dan minum sampai mati. Ketika itu, hatimu akan tersayat kerana sedih dengan keadaanku. Engkau akan menyesali keputusanmu itu dan semua orang akan mencaci makimu sepanjang masa.
Saya menjawab, “Wahai ibu, janganlah ibu lakukan itu, kerana saya tidak akan meninggalkan agama ini dengan sebab apa pun! Ibu saya membuktikan ancamannya. Dia mogok makan minum selama berhari-hari, sehingga tubuhnya menjadi kurus dan lemah. Selama itu saya tetap mengunjunginya berkali-kali dan mohon agar dia mahu makan atau minum walau hanya sedikit. Namun ibu tetap tegas dengan pendiriannya. Saya mula merasa bimbang sesuatu yang buruk menimpa ibu saya.Saya tetap dengan pendirian saya.Lalu saya berkata, “Wahai ibu, sekalipun rasa kasih saya kepada ibu begitu besar, tetapi itu tidak akan mengalahkan cinta saya kepada Allah dan Rasul-Nya. Demi Allah, seandainya ibu mempunyai seribu nyawa dan nyawa itu keluar dari tubuh ibu satu persatu, maka saya tetap tidak akan meninggalkan agama saya dengan sebab atau alasan apa pun!
Akhirnya, ketika mengetahui pendirian saya begitu teguh, ibu saya akhirnya menyerah kalah. Dia mulai mahu makan dan minum walaupun dengan terpaksa. Setelah peristiwa itu, Allah menurunkan wahyu berkaitan dengan kejadian yang kami alami. Allah s.w.t berfirman  dalam surah Luqman ayat 15 yang bermaksud: “Dan jika keduanya memaksamu untuk menyekutukan Aku dengan sesuatu yang tiada pengetahuanmu  tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya dan bergaullah dengan keduanya di dunia dengan baik.”



Thursday, 19 April 2012

Rancangan Pengajaran Harian Pendidikan Islam Tahun 5

Adab kepada ibu bapa


Matapelajaran
Pendidikan Islam
Kelas  
5 COURTESY
Masa
8.45 - 9.45 pagi
Bil. murid
22 orang
Bidang            
Adab dan Akhlak Islamiah
Fokus/tajuk
Memahami kewajipan seorang anak kepada kedua ibu bapa
Kaedah fakta,bercerita
Bersoal jawab,perbincangan,memahami teks bacaan,mengeluarkan Pengetahuan
Pengetahuan
sedia ada  
1. Murid-murid sudah biasa menolong ibu bapa  di rumah.
2. Murid-murid biasa menerima arahan,suruhan,   
perintah ibu bapa
Hasil Pembelajaran
Di akhir pembelajaran muid-murid dapat:

Aras 1:   Menjelaskan maksud dan hukum menolong ibu bapa
Aras 2:   Menyenaraikan bentuk-bentuk pertolongan kepada ibu bapa
Aras 3:   Menyatakan adab-adab menolong ibu bapa dan mengamalkan adab-adab tersebut
Kemahiran Berfikir
1)  Menyatakan mengapa setiap seorang anak wajib mentaati kedua ibu bapanya. 
2)  Menjelaskan setiap perbuatan berbuat baik kepada ibu bapa pasti  mendapat ganjaran atau balasan
Penyerapan / Gabungjalin
Bahasa Melayu, Bahasa Arab, dan Akidah
Penerapan
Nilai    
1.  Bersyukur kerana masih mempunyai ibu bapa.
2.  Sentiasa mendoakan untuk kebahagian ibu bapa.
3.  Berazam mendengar serta mematuhi nasihat ibu bapa.
Bahan bantu Mengajar
Carta bergambar,kad ayat,cd al-Qur'an dan Nasyid, Radio,teks cerita
Pendahuluan (3 minit)
Bacaan doa sebelum belajar  
Isi Pembelajaran
Doa sebelum belajar
Aktiviti
Semua murid membacakan doa secara kelas
Set Induksi (5 minit)
Nasyid mengenai jasa ibu/pengorbanan ibu
Guru mengaitkan lirik lagu dengan pengorbanan seorang ibu
Aktiviti 
Guru memperdengarkan cd nasyid tentang jasa seorang ibu
Murid-murid mengikut alunan nasyid tersebut
Langkah 1 (15minit)      
Isi pembelajaran











                               






Aktiviti    
Maksud dan hukum menolong atau berbakti kepada ibu bapa
- maksud ibu bapa ( pasangan melalui perkahwinan/pernikahan yang sah)
- IBU(insan mulia lagi istimewa yang megandungkan, melahirkan,menyusukan, mengasuh, mendidik, mengurus makan minum dan memberi sepenuh kasih sayang kepada anak-anaknya)
- BAPA ( ketua keluarga, bertanggungjawab mencari nafkah atau rezeki untuk keluarga,memberi pendidikan dan perlindung keluarga )

Hukum menolong atau berbakti kepada ibu bapa
- Hukumnya WAJIB dan berdosa jika mendurhakai keduanya
- Dalil Al-Qur'an

1.Guru menerangkan kepada murid-murid  mengenai kedudukan sebenar siapa ibu  bapa menurut Al-Qur'an.
2 Murid-murid mendengar dan menyatakan maksud ibu bapa
3.Bersoaljawab mengenai jasa-jasa kedua ibu bapa
4.Guru menerangkan tentang hukum berbakti kepada ibu bapa

Langkah 2 (15 minit)
Isi Pembelajaran 


















Aktiviti

Bentuk-bentuk pertolongan kepada ibu bapa
a)  Semasa hidup
~dengar dan patuhi nasihat (kecuali perkara maksiat)
~ membantu dengan ikhlas kerja-kerja seharian
~merawat ketika keduanya sakit
~ mendoakan keampunan Allah
~ membantu meringankan kesusahan

b)   Setelah meninggal dunia
~ mendoakan keampunan
~ bersedekah bagi pihak mereka
~ menghububgkan silaturahim dengan sahabat baik kedua ibu bapa
~ membayar hutang dengan Allah ( qadha' puasa, tunaikan badal haji/umrah)
~menjelaskan hutang dengan manusia
~ menunaikan wasiat keduanya.

1. Guru mempamerkan carta bergambar bentuk-bentuk pertolongan kepada ibu bapa
2. Bersoaljawab berdasarkan gambar.
3. Menyenaraikan jenis-jenis bantuan atau pertolongan
Langkah 3(15 minit) Isi Pembelajaran               

Kebaikan atau faedah berbuat baik kepada ibu bapa :
~ Dikasihi Allah, mendapat pahala, mendapat balasan syurga, hidup diberkati,
~panjang umur


Monday, 16 April 2012

salam perkenalan

ASSALAMMUALAIKUM..........
Tiada kata seindah bahasa inginku coretkan dibalik hamparan nan putih mengikut tinta hitam meniti sebuah luahan rasa.Sedar tak sedar diriku kini hampir menuju ke sebuah fasa pengakhiran menggenggam segulung diploma.Pernah terfikir diri ini,layakkah aku berada di sini,bersama meniti kembara ilmu sesama insan yang tidak aku kenali?.Namun ku gagahkan hatiku membangkitkan semangat yang telah dipaksi.Aku berpegang pada matlamat diri, “Selagi jasad ini bisa bernafas,selagi maut tidak datang melintas,raihlah ilmu sebanyak mungkin di dunia ini,ilmu yang dapat memberikan manfaat terhadap dirimu”.Diriku sedar tidak sehebat mana,diriku sedar tidak sebijak mana,namunku yakin pada diri,jika benar pada nawaitu yang telah dipaksi takkan terhenti kembara ilmuku ini.