![]() |
KELUARGA BAHAGIA |
SIAPAKAH INSAN BERGELAR “BAPA”
Bapa diibaratkan sebagai seorang “Nakhoda” sebuah kapal yang sedang belayar,seorang nakhoda bertanggugjawab memastikan keselamatan para penumpang dan juga akan mengemudikan kapal agar selamat sampai ke destinasinya. Antara peranan mulia seorang bapa:
1. Pemimpin sesebuah rumahtangga atau keluarga
2. Menjadi pelindung atau penyelamat seluruh anggota keluarganya daripada kesengsaraan hidup dunia sekaligus mencapai keredhaan Allah di akhirat.
3. Bertanggungjawab mencari dan memberi nafkah kepada ahli keluarganya, menyediakan dari segi infrastruktur dan prasarana dalam menyara hidup demi kebahagiaan keluarga.
4. Memberi didikan agama secukupnya (keperluan rohani), berusaha memantapkan soal keyakinan (akidah) dan sistem nilai dalam hati anak-anaknya.
5. Sentiasa berusaha bagi memenuhi kehendak fisiologi dan biologi anak-anaknya.
6. Memberi pendidikan ilmu fardu ain dan ilmu yang berbentuk fardu kifayah .(ilmu duniawi dan ukhrawi
SIAPAKAH INSAN BERGELAR “IBU”
“Syurga itu terletak di bawah telapak kaki ibu”, “kasih ibu membawa ke syurga”. Itulah hebatnya insan istimewa bergelar ibu. Syurga dan keberkatan kehidupan seorang anak terletak kepada layanan dan ketaatan tidak berbelah bahagi terhadap ibunya. Sesungguhnya, hierarki ketaatan seorang anak yang paling utama ialah kepada Allah, keduanya kepada Rasulullah SAW dan yang ketiga ialah kepada ibu. Rasulullah SAW juga telah mengingatkan kita tiga kali berturut-turut kewajipan mentaati ibu, kemudian barulah bapa. Peranan mulia seorang ibu:
1. Berperanan sebagai pengurus dalam sebuah rumah tangga, mengurus keperluan suami ( bapa kepada anak-anaknya) juga keperluan anak-anaknya.
2. Melahirkan,menyusui, mengasuh, membesarkan dan menjaga makan minum anak-anaknya.
3. Memberi didikan (tarbiah) kepada anak-anaknya, mencurahkan sepenuh kasih sayang dengan sepenuh hati
4. Menguruskan rumahtangga dengan meyediakan suasana harmoni dan kondusif untuk membina keluarga bahagia.
5. Bertanggungjawab memelihara dan mentadbir harta dan segala keperluan material dan fizikal yang diamanahkan.
6. Ketaatan, kesetiaan dan kepatuhannya kepada suami menjamin kebahagiaan keluarga.
7. Bersusahpayah bagi memenuhi keperluan fizikal ,akal juga keperluan emosi dan hati anak-anaknya.
BERBAKTI KEPADA KEDUA ORANG TUA
Imam Bukhari dan Muslim mengeluarkan dari Ibnu Mas’ud ra, dia berkata: Aku bertanya kepada Rasulullah SAW, “Apakah amal yang disukai Allah? Baginda menjawab “Solat tepat pada waktunya.” Aku bertanya lagi ,Lalu apa? Baginda menjawab, “Berbakti kepada kedua orang tua.”Aku tanya lagi, Lalu apa lagi? Baginda menjawab, “Jihad.”
Hadis riwayat Muslim merawikan, “Tiada seorang anak dapat membalas jasa orang tuanya melainkan ia membeli seorang hamba dan memerdekakannya.”
Abu Ya’la danTabrani meriwayatkan dengan sanadnya, “Seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW seraya berkata, “Aku ingin berjihad, namun aku tidak mampu.” RasulullahSAW bertanya, “Apakah salah seorang tuamu masih hidup?” Dia menjawab, “Ibuku masih hidup.” Lalu Rasulullah SAW bersabda:
“Mohonlah kepada Allah untuk berbakti kepadanya. Jika engkau berbuat demikian, maka sama dengan engkau berhaji, berumrah dan berjihad.”
Ibnu Hibban meriwayatkan, “Keredhaan Allah itu bergantung kepada keredhaan kedua orang tua dan kemurkaan Allah juga bergantung kepada kemarahan kedua orang tuaI
KISAH-KISAH TELADAN BERBUAT BAIK KEPADA IBU BAPA
KISAH 1 (BALASAN ANAK YANG SOLEH)
Dalam sebuah hadis sahih, diceritakan tentang tiga orang lelaki yang bermusafir, ketika di pertengahan jalan, mereka ditimpa hujan lalu berteduh di dalam sebuah gua. Tiba-tiba bergolek sebuah batu besar menutupi pintu gua tersebut.Puas mereka berusaha untuk mencari jalan keluar tetapi tidak berhasil. Tiba-tiba salah seorang daripada lelaki itu memberi cadangan,”Batu ini tidak akan terbuka melainkan kita berdoa, bermunajat dengan bersungguh-sungguh menurut amal soleh masing-masing.”Lalu ketiga-tiga lelaki itu pun menyebut amalan soleh masing-masing dengan penuh khusyuk, Kemudian salah seorang berdoa, “Aku mempunyai anak-anak yang masih kecil dan pekerjaanku ialah mengembala.Apabila aku memerah susu, aku dahulukan kedua orang tuaku meminumnya kemudian barulah anak-anakku dan aku sendiri meminumya. Pada suatu hari, aku keluar untuk mencari kayu hingga lewat petang, apabila aku pulang ku lihat kedua orang tuaku telah tidur.Namun aku tidak mengejutkan mereka untuk minum hinggalah terbit fajar. Sedangkan anak-anakku merengek-rengek kerana dahagakan susu. Demikianlah keadaanku , Ya,Allah, jika engkau tahu aku berbuat demikian semata-mata mengharapkan redha -Mu ,maka bukakanlah pintu gua ini hingga kami dapat keluar dari sini. Dengan izin Allah, bergeraklah sedikit pintu gua tersebut.
KISAH 2 (AKIBAT BERBUAT DERHAKA KEPADA IBU)
Iktibar disebalik kisah Al-Qamah yang hidup pada zaman Rasulullah SAW yang terleka melayan kerenah isteri sehingga terlepas pandang meraikan ibunya. Akhirnya si ibu berkecil hati, menyebabkan Al-Qamah susah mengucap kalimah syahadah semasa hendak meninggal dunia. Rasulullah SAW memerintahkan sahabatnya membuat unggun api untuk membakar Al-Qamah kerana mengecilkan hati ibunya. Hati seorang ibu yang kaya dengan kasih sayang, manakan sanggup membiarkan tubuh badan anaknya dimamah unggunan api yang marak menyala. Akhirnya sejuklah hati seorang ibu, barulah lembut lisan al-Qamah untuk melafazkan kalimah suci “LAILAAHAILLALLAH. Berpisahlah antara nyawa dan jasad Al-Qamah dengan keredhaan seorang ibu. Begitu tegasnya Nabi SAW dalam soal kederhakaan seorang anak kepada ibunya kerana syurga itu di bawah tapak kaki ibu.
KISAH 3 (UTAMAKAN KETAATAN KEPADA ALLAH)
Marilah kita hayati kisah Saad bin Abu Waqqas yang menghadapi ujian getir ketika mengambil keputusan memeluk islam. Saad bercerita,”Apabila ibu saya mendengar bahawa saya telah memeluk Islam,dia hampir pengsan. Persoalannya, saya termasuk pemuda yang berbakti dan sangat mengasihi ibu. Ibu berkata kepada saya, ‘Hai Saad, agama apa yang baru kamu peluk dan telah memalingkanmu dari agama ibu dan ayahmu? Demi Allah, kamu hendaklah meninggalkan agama baru itu. Jika tidak, ibu akan mogok makan dan minum sampai mati. Ketika itu, hatimu akan tersayat kerana sedih dengan keadaanku. Engkau akan menyesali keputusanmu itu dan semua orang akan mencaci makimu sepanjang masa.
Saya menjawab, “Wahai ibu, janganlah ibu lakukan itu, kerana saya tidak akan meninggalkan agama ini dengan sebab apa pun! Ibu saya membuktikan ancamannya. Dia mogok makan minum selama berhari-hari, sehingga tubuhnya menjadi kurus dan lemah. Selama itu saya tetap mengunjunginya berkali-kali dan mohon agar dia mahu makan atau minum walau hanya sedikit. Namun ibu tetap tegas dengan pendiriannya. Saya mula merasa bimbang sesuatu yang buruk menimpa ibu saya.Saya tetap dengan pendirian saya.Lalu saya berkata, “Wahai ibu, sekalipun rasa kasih saya kepada ibu begitu besar, tetapi itu tidak akan mengalahkan cinta saya kepada Allah dan Rasul-Nya. Demi Allah, seandainya ibu mempunyai seribu nyawa dan nyawa itu keluar dari tubuh ibu satu persatu, maka saya tetap tidak akan meninggalkan agama saya dengan sebab atau alasan apa pun!
Akhirnya, ketika mengetahui pendirian saya begitu teguh, ibu saya akhirnya menyerah kalah. Dia mulai mahu makan dan minum walaupun dengan terpaksa. Setelah peristiwa itu, Allah menurunkan wahyu berkaitan dengan kejadian yang kami alami. Allah s.w.t berfirman dalam surah Luqman ayat 15 yang bermaksud: “Dan jika keduanya memaksamu untuk menyekutukan Aku dengan sesuatu yang tiada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya dan bergaullah dengan keduanya di dunia dengan baik.”
No comments:
Post a Comment